Dari Bayang-Bayang ke Lembaran Pertama


Ini adalah sebuah kisah adaptasi berdasarkan fakta sejarah dan ditambah unsur fiksyen untuk mengisi ruang-ruang hati, dialog dan perasaan yang tidak diperkirakan di dalam arkib. Semua peristiwa seperti tarikh penubuhan, nama pengasas dan peranan organisasi disandarkan pada sumber sahih. Watak-watak tambahan, perbualan dan monolog dalaman adalah rekaan semata-mata.

—————————————————————————-

Di sebuah lorong yang kini hanya tersimpan dalam ingatan tua, berdiri megah sebuah rumah kayu bertiang merah yang menjadi penghias lorong itu. Rumah merah itu menjadi lambang kejayaan keluarga Bugis yang merantau dan berakar di tanah Singapura. Dari perahu yang menepi di Tanjong Rhu hingga ke pasar yang riuh dengan pedagang Arab, India dan Cina, keluarga Omar tekun mencari rezeki buat bekalan membina jati diri.

Di dalam rumah itulah seorang anak dibesarkan dengan nama yang kelak menjadi sebahagian daripada sejarah persuratan Melayu. Ambo Abdul Ghani bin Omar, tidaklah sehebat nama-nama yang di kemudian hari disebut-sebut di dalam wacana atau makalah mengenal bangsa, namun buat mereka yang menelusuri sejarah Utusan Melayu akan menemukan nama beliau sebagai salah satu tonggak yang menongkat kuat struktur awalnya.

Di situlah kisah ini bermula. Dari rumah merah yang hangat dengan bau kayu cendana, kopi panas dan perbualan para tetamu yang sering mengunjungi ayahnya Haji Omar bin Ali bertukar buah fikiran dan merencana zaman.

Abdul Ghani membesar dengan disiplin keluarga Bugis yang terkenal tegas. Kaum itu cukup sinonim dengan keberanian di laut, kebijaksanaan di dalam berdagang dan kesetiaan kepada adat. Ayahnya seorang pedagang yang dihormati. Abangnya pula, Haji Ambo Sooloh, seorang hartawan dan dermawan masyhur yang menapak di dalam dunia kepimpinan masyarakat Melayu.

Sejak kecil Abdul Ghani sering mengikuti ayahnya ke dermaga. Di situ dia belajar mengira untung rugi, mengenal rempah ratus dari Sulawesi dan memahami perilaku manusia dalam adat berkomunikasi. Ayahnya selalu berpesan.

“Kau bukan hanya belajar berdagang, Ghani. Kau belajar memahami manusia. Dunia bergerak bukan kerana barang tetapi kerana hubungan yang baik.”

Kata-kata itu terbenam di dalam jiwanya dan kelak menjadi senjata ampuh ketika sebilangan tokoh Melayu berdebat tentang masa depan bangsa di bawah langit pemerintahan kolonial.

Catatan sejarah tidak menjelaskan panjang lebar kisah perihal pendidikan awal Abdul Ghani. Namun seorang lelaki yang kemudiannya menjadi salah seorang pengarah syarikat penerbitan Melayu pertama tentulah bukan calang-calang orangnya.

Di waktu orang-orang Melayu masih kekampungan, beliau sudah mampu berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris berurusan dengan pegawai kolonial. Dan yang paling penting kemahiran beliau dalam perbualan, memujuk, menimbang dan meluaskan jaringan perniagaannya.

Beliau bukan penulis, bukan juga penyunting. Tetapi beliau ialah pemegang amanah. Seseorang yang dipercayai oleh pedagang besar, para asatizah, ketua kampung malah golongan pendidik.

Di Eunos mahu pun di Kampong Gelam malah di Geylang Serai, nama Abdul Ghani mula dikenali bukan sebagai seorang tokoh yang lantang bersuara tetapi sebagai seorang insan yang tenang dan berbudi bahasa.

1930-an bukan zaman biasa. Kota Singa sedang bergerak dari sebuah pelabuhan kolonial kepada sebuah kota yang menjadi pusat gerakan anak-anak Melayu. Kesedaran anak muda semakin meningkat. Kesatuan Melayu Singapura menjadi pentas kelahiran pelbagai rencana.

Di sinilah segalanya bermula.

Pada suatu malam yang tenang, di sebuah rumah papan yang hanya diterangi cahaya lampu minyak tanah, beberapa tokoh Melayu duduk berkumpul. Di antara mereka ialah Ambo Sooloh, Yusof Ishak serta beberapa nama lain yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada dua puluh pengasas Utusan Melayu.

Abdul Ghani duduk sedikit ke belakang, mendengar lebih banyak daripada bercakap.

Suara-suara di ruang tamu berbalah dengan penuh semangat.

“Bangsa kita perlukan suara sendiri.”

“Kita perlukan akhbar. Suara yang tidak bergantung kepada orang lain.”

“Kita perlukan syarikat penerbitan sendiri.”

Namun persoalan utama senantiasa kembali kepada satu titik lemah.

“Duitnya dari mana?”

Abdul Ghani hanya melihat, mendengar dan sesekali mencatat. Tetapi otaknya ligat melukis rencana. Dia tahu siapa yang boleh didekati. Siapa yang perlu diyakini. Siapa yang boleh menyumbang dalam bentuk harta dan siapa pula dalam bentuk tenaga.

Dia tahu perjuangan ini perlukan dua kelompok. Yang berani bersuara dan yang bersedia menanggung risiko.

Beberapa bulan mendatang adalah bulan-bulan yang paling sibuk dan kritikal di dalam hidup Abdul Ghani. Beliau bersama abangnya mengelilingi kota mengetuk pintu rumah para dermawan. Di masjid selepas solat Jumaat, dia berdiri di tepi mimbar tersenyum sambil mulut berbicara lembut.

“Kita mahu Melayu ada lidahnya sendiri. Bukan untuk melawan sesiapa. Tetapi untuk berdiri sendiri. Anak kita perlu membaca berita yang tidak mencemuh mereka. Yang membina fikiran, bukan meruntuh.”

Ada yang terus membeli saham. Ada yang menolak dengan sopan. Ada pula yang mempersoalkan.

“Kau yakin usaha ini tidak akan disekat pemerintah?”

Abdul Ghani hanya menjawab dengan tenang.

“Kita hidup dalam payung undang-undang. Kita tidak berperang. Kita mendidik.”

Di kedai kopi, beliau menyertai perbualan panjang. Menghirup kopi panas sambil mendengar dilema manusia. Setiap perbualan menjadi peluang untuk menyebarkan impian bagi menubuhkan syarikat akhbar Melayu yang pertama.

Perlahan-lahan, modal mereka meningkat. Nama-nama pengasas semakin bertambah. Semangat semakin memuncak.

Di dalam setiap gerakan besar, tidak semua sepakat. Begitu juga dalam usaha menubuhkan Utusan Melayu Press Limited. Mesyuarat demi mesyuarat berlangsung dalam suasana tegang.

Ada yang mahu akhbar itu lantang membela nasib bangsa. Ada yang bimbang lantangnya suara akan mengundang tindakan pemerintah kolonial. Ada yang mahu ia fokus kepada pendidikan. Ada yang mahu ia menjadi akhbar politik.

Selama berdiam, Abdul Ghani akhirnya bersuara. Dalam sepoi angin hujan renyai, suaranya lembut tetapi cukup jelas.

“Kalau kita terus berbalah tentang hala tuju, akhbar ini terbit pun tidak akan mampu. Kita letakkan dulu asasnya. Kita terbitkan dahulu. Selepas itu kita boleh bina corak dan warna. Tanpa helaian pertama, semua yang kita bincang tidak bermakna.”

Kata-kata itu tidak memenangi semua hati tetapi membuka jalan tengah. Ikhtiar kembali rancak. Aktiviti pengumpulan modal kini dipergiat. Mesyuarat pendaftaran syarikat akhirnya dimuktamad.

Utusan Melayu Press Limited kini berdiri gah sebagai sebuah syarikat sah yang dimiliki sepenuhnya oleh orang-orang Melayu.

Pada malam sebelum tarikh 29 Mei 1939, pejabat kecil syarikat itu bergemuruh dengan pelbagai bunyi. Ada yang sedang menyunting artikel terakhir. Ada yang menyusun huruf-huruf logam bagi mencetak tulisan jawi. Ada yang sedang menguji mesin cetak yang dibeli dengan keringat dan titik peluh orang-orang Melayu.

Abdul Ghani bergerak dari satu sudut ke sudut yang lain. Kadang membawa secawan kopi. Kadang menepuk bahu anak muda yang kelihatan gugup.

Di luar, suasana malam di kota Singapura terasa sunyi. Tetapi di dalam pejabat itu, segala rasa bercampur aduk. Takut. Gembira. Cemas. Berkobar.

Abdul Ghani menatap gulungan kertas yang bakal menjadi lembaran akhbar bersejarah. Tangannya menyentuh tepi gulungan itu seakan menyentuh masa depan bangsanya.

“Ya Allah. Jadikan usaha kami ini cahaya bagi anak cucu kami nanti.”

Di dalam hati beliau menyebut nama ayahnya, ibunya, saudara-saudaranya dan semua guru yang pernah membimbingnya.

Malam itu terlalu panjang, tetapi juga terlalu indah.

Ketika fajar terbit pada 29 Mei 1939, mesin cetak mula berputar dengan gegaran halus. Bau dakwat memenuhi ruang udara. Bunyi logam bertemu logam berdenting berselang seli.

Lembaran pertama akhbar jawi itu jatuh dari mesin cetak seperti anak yang baru lahir. Para pengasas yang hadir menatapnya dengan mata yang berair. Penjual-penjual akhbar setia menunggu di luar, berdebar menanti lahirnya naskah yang bakal merubah masa depan anak cucu mereka.

Yusof Ishak mengangkat naskhah itu di hadapan mereka. Senyumnya lebar tetapi matanya merah.

“Inilah suara kita.”

Abdul Ghani berdiri agak jauh, memeluk kedua tangannya. Tidak perlu ke hadapan. Tidak perlu berdiri sebagai wira. Bagi beliau, cukup sekadar menyaksikan bahawa setiap titisan peluh dan air mata, setiap perbalahan dan kritikan yang mereka terima kini membuahkan hasil yang begitu bermakna. Perjalanan yang cukup perit dan menyeksakan, namun sangat memuaskan.

Seorang pekerja menoleh dan berkata dengan penuh hormat.

“Tuan Ghani. Terima kasih kerana percaya kepada kami sampai ke hari ini.”

Abdul Ghani hanya tersenyum.

Pagi itu, sejarah persuratan Melayu berubah selama-lamanya.

Nama Haji Ambo Abdul Ghani bin Omar tidak sering disebut. Namun tanpa beliau, tanpa rangkaian hubungan yang dibina, tanpa kerja senyapnya di belakang tirai, syarikat penerbitan Melayu pertama itu tidak mungkin berdiri pada waktu itu.

Dalam sejarah, ada nama yang disebut kerana bersuara lantang. Ada pula nama yang menjadi asas bangunan. Abdul Ghani adalah salah satu tiang itu.

Dan setiap kali lembaran akhbar Melayu dibuka, setiap tulisan membangkit bangsa, setiap berita menghidup jiwa, di situ ada jejak beliau. Jejak yang tidak hilang walaupun tidak tercetak pada halaman depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *