Politik sering digambarkan sebagai gelanggang idea, debat dasar dan undi rakyat. Namun terlalu kerap, politik menjadi gelanggang fitnah, tuduhan dan permainan persepsi di mana kebenaran menjadi mangsa dan reputasi individu diserang bukan berdasarkan fakta kukuh, tetapi kerana naratif sensasi yang lebih pantas tersebar. Isu antara Albert Tei dan Shamsul Iskandar tampak sebagai contoh moden kepada dinamika ini; dakwaan sogokan, tuduhan rasuah yang besar nilainya, bantuan peribadi seperti sewa rumah dan pengubahsuaian, disusuli dengan laporan polis, siasatan dan reman, menempatkan skandal dan pertuduhan di tengah ruang awam sebelum apa-apa keputusan rasmi dikeluarkan.
Di dalam dunia akademik dan kajian komunikasi politik, fenomena sebegini dikenali sebagai “smear campaign”, “black campaign”, atau lebih luas sebagai “disinformation attack”. Menurut penyelidikan, taktik ini bukan semata-mata tindakan individu, tetapi sering dirancang secara sistemik; melibatkan penyebaran dakwaan, klip, naratif emosi dan terkadang bukti separuh benar. Semuanya untuk mencipta keraguan, menjejaskan kredibiliti dan membentuk persepsi negatif terhadap sasaran. Taktik itu sangat berkesan kerana ianya cepat tersebar, menyentuh emosi dan dapat membentuk pandangan negatif masyarakat sebelum fakta dapat disemak secara teliti. Malah dalam kajian oleh Paul Rozin dan Edward Royzman (2001) menunjukkan bahawa maklumat negatif mempunyai impak lebih kuat dalam mempengaruhi persepsi dan memori berbanding maklumat positif.
Kajian oleh Berger dan Milkman (2012) tentang viral content pula mendapati bahawa kandungan yang memprovokasi emosi ekstrem lebih mudah tular berbanding kandungan yang “lebih sihat”. Penyelidikan dalam bidang affective neuroscience menunjukkan bahawa maklumat yang membangkitkan emosi kuat seperti marah, takut atau terkejut mampu mengaktifkan amygdala dengan lebih ketara sekali gus menimbulkan dorongan ingin tahu yang lebih tinggi dalam diri seseorang dan pada masa yang sama meningkatkan kecenderungan untuk berkongsi kandungan tersebut di media sosial sehingga menjadikannya lebih mudah tular.
Kajian oleh Fessler, Pisor & Navarrete (2014) mendapati bahawa berita ancaman sosial atau politik mudah tersebar kerana manusia ingin melindungi “in-group” mereka. Ahli antropologi Robin Dunbar melalui teorinya yang dikenali sebagai Dunbar’s Gossip Theory menjelaskan bahawa manusia secara semula jadi cenderung kepada gosip kerana aktiviti ini berfungsi mengikat kumpulan sosial, membantu mengenal pasti siapa yang boleh dipercayai dan pada masa yang sama memberi rasa kelebihan sosial kepada individu yang mengetahui maklumat dalam yang tidak diketahui orang lain.
Fitnah pula merupakan bentuk toksik kepada gosip, namun daya tarikannya tetap sama kerana ia menawarkan satu ilusi seakan-akan mereka mempunyai akses kepada maklumat eksklusif yang membuatkan seseorang itu merasa lebih berkuasa atau lebih mengetahui daripada orang lain.
Sejarah politik dunia menyimpan banyak contoh di mana tuduhan dan fitnah digunakan sebagai senjata politik lebih berkesan daripada debat dasar. Di Amerika Syarikat misalnya, kempen oleh “Swift Boat Veterans for Truth” terhadap calon presiden John Kerry pada 2004 dikenali sebagai “swiftboating” iaitu satu serangan peribadi dan reputasi yang besar tetapi kemudiannya didapati disangkal banyak fakta. Walaupun demikian, kerosakan reputasi dan impak politik tetap berlaku. Begitu juga dalam bentuk “whisper campaigns” dan propaganda tersebar secara halus, di mana gosip, dakwaan tanpa bukti dan naratif “kemungkinan buruk” disebar untuk mencemar imej seseorang. Di dalam konteks moden, media sosial mempercepatkan proses ini. Dakwaan dan fitnah boleh tersebar dalam hitungan sesaat, jauh lebih pantas daripada proses menyiasat secara rasmi.
Kesan taktik sebegini pada individu yang dituduh boleh bersifat dramatik dan dan mempunyai kesan jangka panjang. Reputasi boleh tercemar, kepercayaan masyarakat runtuh dan kredibiliti hilang. Bahkan jika akhirnya tuduhan terbukti tidak benar najis fitnah yang telah terpalit sangat susah untuk dibersihkan. Dalam dunia politik, imej dan persepsi hampir sama penting dengan rekod sebenar. Apabila wacana di ruang awam didominasi oleh tuduhan dan kontroversi, tokoh tersebut sukar untuk kembali ke “status quo”. Nama sudah tercemar, sokongan sudah merosot malah peluang untuk berkhidmat atau menang pilihan raya seterusnya menjadi tidak menentu. Tekanan moral, sosial dan psikologi juga biasanya sangat berat bukan sahaja terhadap individu, tetapi juga terhadap ayah bonda, pasangan, anak cucu dan ahli keluarga yang lain.
Lebih berbahaya untuk masyarakat keseluruhannya apabila taktik fitnah dan skandal politik ini menjadi suatu norma di dalam masyarakat. Sehingga menjadi kudis yang dinanti-nantikan oleh sesetengah pihak. Makin digaruk semakin sedap, semakin besar kudis semakin digaruk semakin nikmat rasanya. Menjadi lebih parah apabila yang menikmati kudis ini pula bukan sekadar musuh politik berlainan parti malah ada yang berada di dalam parti sendiri juga turut tersenyum lebar.
Di dalam jangka masa panjang kepercayaan terhadap institusi, media dan sistem perundangan akan mula terhakis. Malah hakim yang arif juga kadang-kala terpalit dengan fitnah ciptaan ini. Keadaan ini akhirnya mencipta budaya politik toksik di mana debat dasar digantikan oleh spekulasi, diskusi rasional ditenggelamkan oleh emosi dan tuduhan meliar. Demokrasi yang sekian lama dibina melalui penilaian yang adil dan matang akhirnya runtuh diganti oleh ketakutan, fitnah dan manipulasi naratif.
Namun, wacana sedemikian bukan sesuatu yang tak boleh diperbaiki. Masyarakat mempunyai peranan penting untuk menuntut ketelusan, kecekapan institusi siasatan dan keberanian media. Kematangan warga maya untuk memeriksa fakta sebelum menyebar tuduhan juga sangat penting bagi membina persekitaran yang bebas skandal dan fitnah. Skandal harus ditangani secara adil. Bukti mesti dibentangkan, siasatan dijalankan dengan bebas dan profesional serta penghakiman oleh masyarakat mesti ditangguh sehingga mahkamah mengeluarkan keputusan rasmi. Masyarakat perlu belajar mengenal pasti perbezaan di antara tuduhan liar dan bukti sebenar. Antara naratif yang sengaja dicipta dan data sahih. Ketika rakyat menjadi lebih kritis dan enggan menerima tuduhan demi tuduhan tanpa bukti, maka kuasa fitnah akan mula terhakis.
Isu Albert Tei vs Shamsul Iskandar bukan sekadar kes individu. Ianya cerminan kepada risiko serius di dalam sistem politik kita di mana reputasi mudah diserang dan naratif mudah dibentuk membina fitnah. Jika rakyat dan institusi tidak bertindak hati-hati, demokrasi akan terus dipinggirkan oleh manipulasi. Sesiapa jua boleh dijatuhkan dan disisihkan, bukan kerana salah laku yang telah terbukti di mahkamah, tetapi oleh fitnah meliar dan gosip yang disukai ramai. Politik akan hilang kredibiliti dan rakyat menjadi mangsa.
Di dalam suasana sedemikian, ianya menjadi tanggungjawab bersama penggiat media, ahli akademik, pengamal undang-undang sehinggalah kepada rakyat marhaen untuk menilai dengan rasional, untuk melindungi hak peribadi dan akhirnya menegakkan demokrasi yang sebenar. Tanpa usaha itu, kita hanya memberi ruang kepada fitnah untuk terus berkembang dan meminggirkan prinsip keadilan, integriti dan demokrasi.


Leave a Reply