PRN Sabah: PAS Semakin Ke Hadapan, DAP Makin Tenggelam?

Pilihan Raya Negeri Sabah 2025 menjadi tamparan paling jelas kepada Kerajaan Perpaduan sejak ia terbentuk. Kemenangan seorang calon PAS yang berjaya menembusi kawasan yang selama ini dianggap jauh daripada pengaruh parti itu serta kekalahan mutlak DAP di kesemua kerusi yang ditandingi bukan sekadar menunjukkan nasib malang parti tertentu. Ia adalah referendum terhadap kegagalan dasar, komunikasi dan kehadiran Kerajaan Perpaduan di Sabah. Keputusan PRN kali ini menghantar mesej yang kerajaan perlu dengar jika mereka tidak mahu gelombang penolakan ini merebak ke Semenanjung pada pilihan raya akan datang.

Kekalahan DAP di semua kerusi yang mereka tandingi bukan sahaja memalukan malah membuktikan bahawa parti itu kini dilihat tidak lagi relevan kepada pengundi Sabah. Selama bertahun parti itu selesa dengan imej bandar dan progresif namun keyakinan itu akhirnya berubah menjadi satu kelemahan. Mereka masuk ke medan politik Sabah tanpa kesedaran mendalam tentang keutamaan dan sensitiviti setempat. Dalam banyak isu parti itu dilihat lebih sibuk berbahas tentang isu-isu nasional berbanding menyentuh realiti asas kehidupan rakyat Sabah yang masih berdepan masalah air, elektrik, infrastruktur dan hak autonomi negeri. Pengundi telah menilai dan telah menghukum dengan sewajarnya.

Kegagalan DAP juga sekaligus meletakkan Kerajaan Perpaduan dalam kedudukan yang rapuh. Sabah bukan lagi sebuah negeri yang boleh dianggap sekadar wilayah tambahan kepada peta politik nasional. Sabah kini bersuara lebih lantang dan penduduknya semakin bijak memilih parti yang menghormati identiti tempatan. Malangnya Kerajaan Perpaduan masih beroperasi dengan cara lama yang dianggap berpusat di Semenanjung dan terlalu yakin bahawa jenama reformasi masih berkesan. PRN ini membuktikan sebaliknya. Rakyat Sabah tidak lagi terpikat dengan naratif idealisma jika isu asas di halaman rumah mereka tidak ditangani.

Dalam masa yang sama kemenangan PAS walaupun hanya satu kerusi tetap membawa makna yang cukup besar. Ia bukan kerana gelombang hijau tiba-tiba melanda Sabah tetapi kerana pengundi melihat calon PAS sebagai satu alternatif yang lebih ikhlas atau lebih bersedia untuk mendengar. Ia juga kerana PN, yang menjadi rakan politik mereka, bergerak lebih efektif dengan strategi akar umbi yang lebih teliti. Mereka membaca perubahan mood rakyat dan mengisi kekosongan yang dibiarkan oleh Kerajaan Perpaduan. Walaupun kemenangan itu dilihat oleh sesetengah pihak kecil namun impaknya begitu simbolik. Ia menandakan pintu Sabah yang selama ini tertutup rapat untuk PAS kini telah terbuka ruang yang tidak pernah berlaku di dalam sejarah negeri itu.

Adakah kemenangan PAS dan kejatuhan DAP merupakan petanda penolakan terhadap Kerajaan Perpaduan terutama parti komponen PH? Jawapan yang mudah ialah ya. Pengundi Sabah tidak melihat parti-parti komponen PH dalam kerajaan sebagai pembawa perubahan yang mereka perlukan. Mereka melihat kelemahan pentadbiran di Putrajaya dan merasai kesannya pada kehidupan harian mereka. Kenaikan kos sara hidup, ketidakstabilan dasar dan kegagalan mengotakan janji lama tentang hak Sabah semuanya melemahkan keyakinan terhadap kerajaan hari ini. DAP menjadi mangsa utama kerana ia paling ketara sebagai wajah bandar di dalam kerajaan. Namun implikasinya turut melimpah kepada rakan-rakan mereka di dalam PH dan bahkan BN yang turut menanggung persepsi yang sama. BN yang bertanding di 45 buah kerusi DUN hanya mampu memenangi 6 kerusi sahaja. 

Jika Kerajaan Perpaduan tidak melakukan reformasi politik yang sebenar, bukan sekadar retorik, maka apa yang berlaku di Sabah akan berulang di beberapa negeri pada pilihan raya akan datang. Sabah memberi isyarat bahawa rakyat semakin berani menolak parti yang gagal mendekati mereka. Mereka tidak lagi takut untuk menghantar mesej keras. PAS mungkin tidak akan memenangi banyak kerusi di Sabah tetapi apa yang berlaku menunjukkan bahawa PN mempunyai ruang yang besar untuk memenangi hati dan mind pengundi. Ini cukup untuk mengubah imbangan kuasa nasional jika trend sama berlaku di negeri-negeri campuran seperti Johor, Melaka atau Perak.

Kesimpulannya PRN Sabah 2025 ialah satu ”wake-up call” paling besar kepada Kerajaan Perpaduan terutama kepada PH. Jika mereka tidak segera memperbaiki hubungan dengan rakyat, bukan hanya di Sabah tetapi di seluruh negara, maka masa depan mereka dalam PRU akan datang pasti tergugat. Kekalahan DAP bukan sekadar kekalahan sebuah parti. Ia ialah simbol kehilangan kepercayaan pengundi terhadap kerajaan yang semakin dilihat jauh daripada denyut nadi rakyat. Kemenangan PAS pula menjadi tanda bahawa ruang perubahan kini terbuka untuk sesiapa sahaja yang mampu memahami dan mewakili suara rakyat dengan lebih ikhlas dan berani.

Kepimpinan Kerajaan Perpaduan terutama PH boleh memilih untuk mendengar atau mengabaikan amaran ini namun masa depan politik negara bergantung kepada pilihan pengundi yang ternyata semakin bijak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *