Di timur merah fajar
di celah debu dan doa para anbiya
terhampar sekeping tanah
tempat sejarah berkarya
dalam hanyir darah, titisan air mata dan harapan.
Di padang yang tenang
langkah Ibrahim pernah berjejak
membawa pesan tauhid yang tidak pernah retak.
Daud hadir memahat keadilan.
Sulaiman membangun tamadun
melampau zaman.
Isa al-Masih lahir di tanah barakah ini
membawa hikmah dan kasih.
Bumi ini jadi saksi
Omar al-Khattab masuk aman
bukan dengan pedang
tapi janji penuh hormat.
Salahuddin al-Ayubi nyalakan cahaya
ke dalam Quds yang pernah duka
dengan belas
yang mengalir ke seluruh benua.
Hari ini
tanah ini adalah puisi yang disiat-siat
dibakar, dipenjara, dikepung
tapi tidak pernah mati.
Puisi Mahmoud Darwish
mendenyut jantung bangsanya
doktor, jururawat, wartawan
mengangkat takdir dalam runtuhan
guru mengajar di balik dinding
yang musnah dibedil
ibu mendodoi kasih menenun harapan
dalam galak gemuruh dentuman
batu menjadi saksi
anak kecil belajar berani
mengejar syurga yang dijanji.
Wahai Palestin
dalam setiap sujud kami
ada namamu.
Dalam setiap zikir angin
ada rohmu.
Dalam setiap denyut ummah
ada degup perjuanganmu.
Kerana kau bukan sekadar bumi
kau adalah iman yang didambakan
harapan yang diwariskan
dan janji yang diwasiatkan.


Leave a Reply