Kekalahan kesemua calon DAP dalam PRN Sabah membuka satu lembaran politik yang perlu diteliti dengan serius oleh Pakatan Harapan di peringkat negeri dan pusat. Keputusan ini bukan sekadar kegagalan taktikal sementara tetapi mencerminkan jurang yang semakin melebar di antara parti-parti nasional dengan realiti politik di bumi Sabah yang sarat dengan dinamika tempatan, identiti kedaerahan yang kuat serta persaingan parti-parti berasaskan negeri yang semakin kukuh. DAP memasuki pilihan raya kali ini dengan strategi meletakkan calon-calon baru yang segar serta usaha membina naratif pembangunan dan integrasi nasional, namun langkah tersebut ternyata tidak cukup untuk menembusi tembok sentimen Sabah yang menuntut penguasaan isu yang benar-benar bersifat lokal dan bersendi akar umbi.
Sebahagian besar puncanya datang daripada keghairahan politik tempatan yang semakin menonjol di dalam kalangan pengundi Sabah. Naratif yang menekankan hak negeri, tuntutan berkaitan MA63, persoalan autonomi dan rasa tidak puas hati terhadap apa sahaja yang dianggap dominasi Semenanjung turtu menjadi faktor yang mengangkat parti-parti tempatan seperti GRS dan Warisan. Dalam suasana sebegini, parti-parti politik dari Semenanjung akan dilihat sebagai entiti luar yang membawa pakej nasional yang tidak selaras dengan denyut nadi setempat. DAP tidak terlepas daripada persepsi ini. Walaupun cuba menonjolkan calon yang lebih muda serta membawa suara pembaharuan, mesej mereka masih gagal menyentuh keutamaan pengundi luar bandar dan separa bandar yang lebih percaya kepada pemimpin tempatan.
Persaingan banyak penjuru juga menjadi duri dalam daging dalam pilihanraya kali ini. Pertembungan di antara GRS, Warisan, BN dan calon bebas memecah-belahkan undi pembangkang serta menyempitkan margin kemenangan yang sudah pun sukar. Dalam keadaan ini, DAP yang tidak mempunyai rangkaian jentera yang luas di Sabah tidak mampu bersaing dari segi logistik mahupun kehadiran politik di lapangan. Tambahan pula, perubahan besar dalam pemilihan calon, termasuk pertukaran kerusi dan pengenalan beberapa calon yang tidak cukup bertapak di kawasan masing-masing, mengundang pertanyaan tentang sejauh mana keputusan strategik dibuat dengan mengambil kira kepekaan pengundi tempatan. Pemimpin negeri khususnya barisan peneraju DAP Sabah dan kepimpinan PH Sabah harus menilai sejauh mana pertimbangan politik negeri benar-benar diambil kira dalam setiap keputusan ini.
Kekalahan ini membawa implikasi besar kepada PH di Sabah. Tanpa kehadiran wakil yang kuat di Dewan Undangan Negeri, PH kehilangan saluran rasmi untuk mempengaruhi dasar negeri dan memperjuangkan isu penting yang melibatkan Sabah. Kedudukan PH sebagai blok politik alternatif di Sabah semakin lemah dan wibawanya mula dipersoalkan. Moral jentera tentu sekali merudum dan ia membuka pintu kepada desakan pembaharuan dalaman termasuk suara-suara yang menuntut penstrukturan semula kepimpinan dan taktik kempen. Pada masa yang sama, perbezaan sokongan antara pengundi bandar dan luar bandar semakin ketara sehingga menyebabkan DAP perlu menilai semula strategi penyampaian mesej yang sering lebih berkesan di kawasan kota tetapi tidak di kawasan pinggir dan pedalaman.
Kesan di peringkat persekutuan tidak kurang besar. Keputusan ini mengukuhkan persepsi bahawa PH masih belum dapat menawan hati pengundi Sabah walaupun sudah memegang tampuk kekuasaan di Putrajaya. Ia membuka ruang kepada kritikan bahawa gagasan reformasi nasional yang dibawa PH tidak benar-benar menyentuh realiti persekitaran politik Malaysia Timur. Dalam isu-isu utama seperti pelaksanaan tuntutan MA63, rundingan peruntukan kewangan negeri dan projek pembangunan, PH kini berada dalam kedudukan yang lebih lemah kerana kehilangan rakan tempatan yang boleh memperkukuh kedudukan keabsahan mereka di Sabah. Keputusan ini memaksa PH di peringkat nasional menilai cara mereka membina hubungan politik dengan negeri-negeri Malaysia Timur dan bagaimana suara mereka dapat diterjemah di peringkat akar umbi.
Kekalahan menyeluruh di Sabah seharusnya menjadi “wake-up call” buat DAP dan PH bagi mereka menyedari bahawa pendekatan politik nasional tidak boleh lagi bersifat seragam atau disuapkan dari pusat bilamana PRU16 akan menjelma dalam masa 1-2 tahun lagi dan mereka akan kembali ke Sabah bagi pilihanraya parlimen pula. Sabah memerlukan strategi politik yang dibangunkan dari bawah dan dipandu oleh pemimpin tempatan yang benar-benar memahami psikologi pengundi dan struktur sosial negeri itu. Tanpa perubahan besar dalam cara berfikir dan cara mengatur strategi, kekalahan ini boleh menjadi petanda awal kepada pengukuhan semula naratif politik tempatan yang menjauhi gabungan parti-parti politik nasional. Namun jika ia dijadikan titik permulaan pembaharuan, PH dan DAP masih mempunyai ruang untuk membina kembali kepercayaan di Sabah melalui pendekatan yang lebih sederhana, merendah diri, lebih peka kepada adat dan budaya tempatan serta lebih berakar kepada realiti lapangan.


Leave a Reply