Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 baru sahaja melabuhkan tirainya namun gema daripada keputusan itu masih bergetar di dalam politik Malaysia. Pilihan raya kali ini bukan sekadar mengubah komposisi kerusi di Dewan Undangan Negeri bahkan ia menjadi satu penanda aras baru yang merombak cara kita memahami hubungan di antara Sabah dan pusat kuasa di Semenanjung. Banyak yang telah diperkatakan oleh penganalisis seperti Khairy Jamaluddin bersama Ong Kian Meng dan wartawan veteran Philip Golingai yang melihat keputusan kali ini sebagai detik bersejarah. Ia seakan mengulangi peristiwa kebangkitan rakyat Sarawak namun dengan wajah, sifat dan denyut yang tersendiri. Sabah telah memasuki fasa politik yang menuntut perhatian seluruh negara.
Gabungan Rakyat Sabah atau GRS muncul sebagai pemenang terbesar dan yang paling menarik ialah kemenangan ini berlaku bukan kerana bantuan dari pusat tetapi kerana keyakinan rakyat Sabah terhadap kepimpinan negeri sendiri. GRS meraih 29 kerusi dan angka ini cukup untuk membentuk kerajaan dengan sokongan tambahan daripada beberapa parti lain serta ADUN Bebas. Namun mesej lebih besar daripada keputusan ini ialah ikrar rakyat bahawa mereka menolak dominasi politik Semenanjung sambil menegaskan bahawa masa depan Sabah mesti ditentukan oleh anak Sabah sendiri. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor berjaya memposisikan dirinya sebagai wajah baru kepimpinan tempatan yang pragmatik, tenang dan tidak bergantung kepada tongkat sokongan pusat. Ini selari dengan pemerhatian tokoh politik yang menyifatkan kemenangan GRS sebagai suatu pengisytiharan tidak rasmi bahawa Sabah sudah menemui poros politiknya sendiri.
Dalam pada itu kemunculan Warisan sebagai kuasa kedua terbesar membuktikan bahawa lanskap Sabah telah pun terbentuk dengan dua medan kuasa yang sama-sama berasal dari bumi tempatan. Warisan yang memperoleh 25 kerusi kekal sebagai parti yang mempunyai kekuatan naratif paling konsisten tentang identiti dan autonomi Sabah. Shafie Apdal masih memegang kedudukan penting dalam mempengaruhi sentimen akar umbi. Walaupun tidak kembali sebagai kerajaan, Warisan memantapkan kedudukannya sebagai pembangkang yang kuat dan berwibawa. Mereka menjadi suara yang cukup berpengaruh untuk menahan arus dominasi mana-mana pihak sekaligus memastikan kerajaan negeri terus bergerak dalam landasan yang seimbang. Dalam bahasa Machiavelli kedudukan Warisan menyerupai seekor singa yang mampu menakutkan serigala tetapi memiliki sifat seekor musang yang bijak membaca perangkap.
Satu episod yang paling dramatik dalam PRN Sabah kali ini ialah keruntuhan total DAP Sabah. Kesemua lapan kerusi yang mereka pertandingkan terlepas daripada genggaman. Kekalahan ini bukan sekadar statistik biasa tetapi satu tamparan yang membawa makna mendalam. DAP selama ini menampilkan diri sebagai parti yang berpegang kepada moral tinggi namun kompromi politik dalam Kerajaan Perpaduan menyebabkan banyak penyokong mereka berasa bahawa parti tersebut telah berganjak daripada prinsip asal. Insiden yang membabitkan siasatan terhadap individu tertentu termasuk serbuan pihak berkuasa terhadap tokoh yang rapat dengan parti itu turut menjejaskan persepsi pengundi. Sikap berhati-hati dan lambat memberi respons menjadikan isu tersebut liabiliti yang tidak dapat dielakkan. Pada masa yang sama kewujudan Warisan sebagai pilihan tempatan yang lebih meyakinkan menyebabkan pengundi Cina Sabah terutamanya di kawasan bandar memilih untuk meletakkan undi mereka kepada parti tempatan yang dilihat lebih memahami realiti negeri.
Keputusan yang paling getir sudah pasti dirasakan oleh UMNO yang hanya memenangi enam kerusi daripada 45 yang ditandingi. Ini merupakan kejatuhan yang hampir simbolik kepada zaman peralihan. UMNO yang pernah menjadi gergasi politik Sabah kini seakan spesies dinosaur yang semakin terpupus. Pertembungan tidak produktif di antara calon UMNO dan calon GRS di beberapa kawasan mempercepatkan penyusutan undi mereka. Lebih penting lagi UMNO gagal membaca perubahan psikologi politik Sabah yang semakin cenderung menolak dominasi parti dari Semenanjung. Dalam kerangka pemikiran Antonio Gramsci, UMNO telah kehilangan hegemoni budaya. Tanpa hegemoni budaya tidak mungkin parti itu memperoleh semula hegemoni politik.
Dalam menilai keseluruhan keputusan ini kita dapat melihat bagaimana PRN Sabah telah menjadi satu pentas teater yang hampir sama kepada teori Niccolo Machiavelli seperti yang tercatat di dalam The Prince. Machiavelli menegaskan bahawa seorang pemerintah harus bersatu dengan tanah air dan budaya tempat dia memerintah. Mereka yang gagal memahami adat dan naluri masyarakat akan kehilangan kuasa dalam masa yang singkat. Inilah yang berlaku kepada parti nasional. Mereka dianggap pendatang politik yang tidak meresap ke dalam jiwa Sabah. Sebaliknya GRS dan Warisan memenuhi tiga naluri politik paling asas iaitu memahami budaya tempatan, membina jaringan kepimpinan tempatan serta menawarkan kestabilan tanpa dominasi pusat. Maka kemenangan mereka bukanlah kejutan tetapi suatu kelaziman sejarah yang akhirnya menonjolkan diri setelah puluhan tahun tersembunyi.
PRN Sabah juga telah membuka satu lembaran baru dalam hubungan persekutuan. Tuntutan mengenai pengembalian 40% hasil cukai kini menjadi lebih lantang kerana ia tidak lagi datang hanya daripada pembangkang atau aktivis tetapi daripada majoriti pengundi yang telah menyuarakan aspirasi mereka melalui peti undi. Dalam kerangka pemikiran Alexis de Tocqueville kuasa tempatan yang kuat merupakan penampan kepada masalah politik pusat. Sabah kini berdiri sebagai contoh kepada idea itu. Sabah bukan lagi sekadar negeri di dalam Malaysia tetapi semakin menyerupai sebuah bangsa di dalam sebuah negara Malaysian nationhood di atas landasan Bornean.
Keputusan ini membawa kita kepada persoalan lebih besar mengenai identiti. Dalam pandangan Francis Fukuyama identiti merupakan faktor penentu tingkah laku politik dalam abad ke 21. Sabah mengundi berdasarkan rasa hak milik kepada tanah air mereka. Mereka tidak lagi melihat diri sebagai penumpang dalam naratif politik nasional. Mereka mahu berdiri sebagai rakan setara dan menuntut pengiktirafan terhadap kedudukan itu.
Akhirnya PRN Sabah bukan sekadar pertandingan di antara calon dan parti. Ia adalah referendum terbuka terhadap masa depan negeri. Ia adalah penolakan terhadap dominasi Semenanjung dan pengisytiharan bahawa autonomi Sabah bukan lagi idea pinggiran tetapi satu keperluan politik. Sabah telah memutuskan tali pusatnya. Yang tinggal kini ialah persoalan sama ada Putrajaya bersedia menerima Sabah sebagai rakan kongsi atau masih melihat Sabah sebagai entiti yang memerlukan bimbingan.
Rakyat Sabah telah memilih jalan mereka. Jalan itu jelas dan tidak menunjukkan tanda untuk berpatah balik. Malaysia harus bersedia menyesuaikan diri dengan hakikat baru ini. Sabah telah bersuara dan suara itu tidak lagi berbisik. Ia kini bergema sebagai tuntutan yang tidak boleh diabaikan.


Leave a Reply