Tanggungjawab Yang Hilang Dalam Sistem Kita

Beberapa hari lalu masyarakat sekali lagi tersentak dengan tularnya rakaman dua orang abang Grab yang berhenti di tengah kesibukan tugas mereka untuk membersihkan saluran air di tepi jalan. Dengan kudrat sendiri mereka mengaut sampah yang menyekat aliran air sehingga banjir kilat kecil terbentuk di permukaan jalan. Gelagat mereka memang mengundang rasa kagum. Ada yang memuji semangat sukarela mereka dan ada yang terharu melihat rakyat biasa sanggup mengambil langkah proaktif demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain. Namun di sebalik pujian yang melimpah timbul persoalan yang jauh lebih mendesak iaitu mengapa rakyat biasa pula yang perlu melakukan kerja yang sebenarnya berada di bawah tanggungjawab pihak tertentu.

Ini bukan kisah pertama. Kita sudah berkali-kali melihat kejadian serupa apabila pegawai polis, pemandu lori dan penduduk setempat terpaksa turun padang membersihkan longkang, mengalihkan dahan pokok, membetulkan penutup perparitan atau melakukan kerja kecil yang sebenarnya bukan dalam tugas mereka. Masyarakat sememangnya menghargai sikap prihatin ini tetapi ia tidak boleh dibiarkan menjadi perkara biasa sehingga rakyat sendiri mengambil-alih kerja yang sudah pun diperuntukkan kepada kontraktor pembersihan dan dipantau oleh pihak berkuasa.

Apa yang membimbangkan ialah alasan yang sering diberikan apabila perkara ini dibangkitkan. Kadang-kadang kita diberitahu tiada laporan diterima. Ada ketika alasan yang diberi adalah pihak berkenaan tidak tahu keadaan sebenar. Tidak kurang juga pihak yang mengatakan ia bukan termasuk dalam skop mereka. Jawapan seperti ini menunjukkan betapa budaya melepaskan tanggungjawab sudah sebati dalam sistem kerja tertentu. Ia juga menggambarkan kelemahan yang ketara dalam pengawasan dan pelaksanaan tugas.

Dalam zaman teknologi serta pemantauan pintar, amat tidak munasabah jika kontraktor atau pihak berkuasa hanya menunggu laporan sebelum bertindak. Sewajarnya sudah ada jadual kerja berkala. Pemeriksaan fizikal di lapangan juga seharusnya menjadi rutin. Jika dua orang abang Grab yang lalu di kawasan itu tanpa sebarang sistem pemantauan boleh menyedari longkang yang tersumbat mengapa pihak yang dibayar dengan nilai kontrak yang tinggi tidak dapat mengesan masalah yang sama. Kontrak pembersihan bandar bukanlah kontrak kecil. Ia melibatkan kos yang besar dan sepatutnya memberi pulangan dari segi kebersihan, penyelenggaraan dan keselamatan awam. Jika hasilnya rakyat pula yang perlu membersihkan longkang maka ada sesuatu yang jelas tidak kena.

Tanggungjawab pihak berkuasa tempatan juga tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Mereka bukan sekadar meluluskan tender atau menandatangani perjanjian kontrak. Mereka perlu memastikan setiap kerja dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan. Penguatkuasaan, audit lapangan, pemantauan rapi serta tindakan tegas terhadap mana-mana kontraktor yang cuai sepatutnya menjadi prosedur biasa. Jika semua ini tidak berlaku maka sistem pengawasan itu sendiri sudah gagal. Apabila sistem gagal rakyatlah yang menerima kesannya dalam bentuk banjir kilat, jalan licin, risiko kemalangan dan kerosakan harta benda.

Sesetengah pihak mungkin menganggap masalah longkang tersumbat sebagai perkara kecil. Namun perkara kecil inilah yang sering mencetuskan masalah yang jauh lebih besar. Sedikit kelalaian di satu titik menyebabkan air melimpah, jalan ditenggelami, persekitaran menjadi tidak sihat dan peruntukan tambahan pula terpaksa digunakan untuk kerja baik pulih. Semua ini akhirnya kembali kepada wang rakyat. Apabila rakyat yang terpaksa menyelesaikan masalah di lapangan manakala kontraktor terus menerima bayaran penuh, persoalan keadilan dan integriti timbul dengan sendirinya.

Sikap prihatin rakyat biasa memang patut dipuji tetapi kita tidak boleh berhenti pada rasa kagum semata-mata. Jika masyarakat terlalu biasa melihat rakyat menjalankan kerja yang bukan milik mereka maka sistem yang lemah itu akan terus dibiarkan tanpa pembaikan. Editorial ini bertujuan menuntut satu perkara yang jelas. Kerja pembersihan dan penyelenggaraan awam adalah amanah yang telah diberikan kepada pihak tertentu dan menggunakan wang rakyat. Mereka yang menerima amanah ini wajib melaksanakannya tanpa alasan. Rakyat tidak boleh terus menampung kelemahan sistem. Sudah tiba masanya pihak berkuasa dan kontraktor pembersihan memikul tanggungjawab sebenar dan membuktikan mereka layak memegang amanah yang diberikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *