Dalam lipatan sejarah pendidikan negara, polemik Sijil Peperiksaan Bersepadu atau UEC sering kali muncul umpama hantu raya yang tidak pernah berjaya ditangkap atau dibuang. Ia berkeliaran dalam wacana awam, menghantui setiap kali musim pilihan raya menjelang dan kemudian menyepi tanpa sebarang penyelesaian tuntas apabila undi selesai dikira. Bagi kita yang berpegang teguh kepada prinsip Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai wadah penyatuan bangsa, kebuntuan yang berlarutan ini bukan sekadar satu kegagalan pentadbiran, sebaliknya ia adalah manifestasi ketidaksanggupan pihak tertentu untuk berhadapan dengan realiti kenegaraan.
Persoalan pokok yang wajar kita lontarkan pada hari ini bukanlah sekadar polemik teknikal sama ada UEC wajar diiktiraf atau tidak. Persoalan yang jauh lebih besar dan mendesak untuk dijawab oleh kepimpinan Dong Jiao Zong serta para pelobi pendidikan Cina adalah mengenai keberanian moral dan politik. Adakah UEC berani untuk menelusuri jejak langkah pragmatik yang pernah diambil oleh pendukung Universiti Merdeka suatu ketika dahulu, iaitu keberanian untuk berubah demi diterima sebagai sebahagian organik dalam dasar pendidikan negara, atau adakah mereka lebih selesa membiarkan isu ini kekal sebagai senjata politik yang tajam tetapi membinasakan?
Untuk mencari jawapan kepada dilema ini, kita perlu membedah sejarah dengan jujur, khususnya episod kegagalan cadangan Universiti Merdeka pada akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an. Pada waktu itu, suasana politik negara masih bergolak pasca tragedi 13 Mei 1969, di mana soal perpaduan dan integrasi nasional menjadi keutamaan tertinggi kerajaan. Dalam suasana inilah muncul cadangan untuk menubuhkan sebuah universiti swasta berteraskan bahasa Mandarin sebagai jalan keluar bagi pelajar sekolah menengah persendirian Cina yang gagal menembusi tembok universiti awam. Universiti Merdeka dilihat sebagai jawapan mutlak kepada masalah akses pendidikan tinggi komuniti tersebut.
Namun, Kerajaan Persekutuan dengan tegas menolak cadangan itu atas prinsip bahawa penubuhan institusi tinggi berasaskan satu aliran bahasa asing adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan semangat Dasar Pendidikan Kebangsaan yang memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tunggal demi perpaduan. Keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 1971 yang menolak petisyen Universiti Merdeka sepatutnya menjadi titik noktah kepada perjuangan pendidikan vernakular di peringkat tinggi.
Akan tetapi, apa yang berlaku selepas kegagalan itu adalah satu demonstrasi kematangan politik yang luar biasa, sesuatu yang kelihatannya hilang dalam kepimpinan pendidikan Cina hari ini. Menyedari bahawa konfrontasi undang-undang dan desakan emosi tidak akan membuahkan hasil, kepimpinan MCA dan komuniti pendidikan Cina ketika itu memilih jalan pragmatisma. Mereka tidak terus meratap di pusara Universiti Merdeka. Sebaliknya, mereka bangkit dengan strategi baharu yang kompromi lagi bijaksana melalui penubuhan Kolej Tunku Abdul Rahman atau Kolej TAR pada tahun 1969.
Perbezaan pendekatan ini sangat ketara dan wajar dijadikan teladan. Kolej TAR ditubuhkan bukan sebagai jelmaan semula Universiti Merdeka yang keras dan kaku, tetapi sebagai sebuah institusi yang akur kepada realiti tanah air. Ia tidak menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar utama, sebaliknya menerima pakai Bahasa Inggeris dan Bahasa Kebangsaan. Ia beroperasi sepenuhnya dalam kerangka undang-undang kerajaan dan tidak mencabar kedaulatan sistem pendidikan negara. Melalui pengorbanan ego dan kesediaan untuk melepaskan simbolisma bahasa demi matlamat pendidikan yang lebih besar, Kolej TAR akhirnya berjaya diterima, berkembang maju, dan melahirkan ribuan graduan profesional yang menyumbang kepada pembangunan negara tanpa dicurigai kesetiaannya. Dan hari ini berdiri sebagai salah sebuah universiti utama negara.
Malangnya, naratif kejayaan transformasi ini tidak dijadikan panduan dalam isu UEC hari ini. UEC seolah-olah terperangkap dalam kapsul masa yang beku, enggan berganjak walau seinci pun daripada tuntutan asalnya. Tuntutan pengiktirafan UEC sering kali bersifat mutlak di mana mereka mahukan pengiktirafan penuh tanpa mahu mengubah struktur asas kurikulumnya yang terpisah daripada acuan kebangsaan. UEC terus dipertahankan bukan sekadar sebagai instrumen akademik untuk menguji kecerdasan pelajar, tetapi ia telah diangkat sebagai benteng terakhir identiti budaya dan kedaulatan sistem pendidikan aliran Cina yang tidak boleh disentuh.
Apabila sesuatu isu pendidikan diangkat setinggi itu sehingga menjadi simbol maruah kaum, ruang untuk berunding dan berkompromi menjadi tertutup rapat. Inilah sebab utama mengapa UEC gagal menyusuri jejak kejayaan Kolej TAR. Pendukung Universiti Merdeka dahulu sanggup membunuh nama “Merdeka” demi menghidupkan peluang pendidikan anak bangsa melalui Kolej TAR. Sebaliknya, pendukung UEC hari ini lebih rela melihat isu ini tergantung tanpa penyelesaian daripada melakukan pengubahsuaian kurikulum dan bahasa yang selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Dari sudut politik, kebuntuan ini sebenarnya menguntungkan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan. Kita tidak boleh naif dalam membaca sepak terajang politik tanah air. Isu UEC yang tidak selesai adalah “aset” yang sangat berharga bagi ahli politik yang ketandusan modal. Bagi parti-parti yang mahu memancing undi masyarakat Cina, janji pengiktirafan UEC adalah umpan yang paling lazim ditabur setiap kali pilihan raya umum menjelang. Manakala bagi parti-parti yang memperjuangkan nasionalisma Melayu, penentangan terhadap UEC adalah cara paling mudah untuk membakar semangat penyokong mereka demi mempertahankan kedaulatan bahasa ibunda.
Dalam senario Machiavelli sebegini, UEC sebenarnya telah dijadikan tebusan politik. Ia sengaja dibiarkan hidup sebagai satu masalah supaya ia boleh terus dimanipulasi. Sekiranya UEC benar-benar mahu diselesaikan, jalan penyelesaiannya sudah lama wujud di depan mata, iaitu melalui asimilasi kurikulum dan pemerkasaan Bahasa Melayu dalam sukatan pelajaran mereka setaraf dengan sekolah kebangsaan. Namun, langkah ini tidak diambil kerana ia bermakna hilangnya satu “senjata” ampuh dalam perang persepsi politik negara. Ahli politik memerlukan isu ini kekal panas untuk memastikan kelangsungan kuasa mereka, manakala golongan pendidikan tertentu pula memerlukan isu ini untuk mengekalkan kepentingan dan kuasa tawar-menawar mereka dengan kerajaan.
Akibatnya, mangsa sebenar dalam percaturan politik dan ego ini adalah pelajar-pelajar itu sendiri serta keharmonian negara yang terus tergugat. Sistem pendidikan negara yang sepatutnya menjadi wadah peleburan segala perbezaan kaum kini terus dicabar oleh kewujudan sistem selari yang enggan berintegrasi. Selagi UEC kekal dengan sifat eksklusifnya dan enggan menerima hakikat bahawa sebuah negara bangsa memerlukan satu sistem pendidikan yang seragam, selagi itulah ia akan terus menjadi duri dalam daging.
Oleh yang demikian, cabaran sebenar kini terpikul di bahu kepimpinan Dong Jiao Zong dan para pendukung UEC. Adakah mereka mempunyai keberanian politik untuk melakukan “pengorbanan besar” seperti yang dilakukan oleh generasi terdahulu? Adakah mereka berani merombak UEC, menyelaraskannya dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan menjadikannya satu sistem yang benar-benar bersifat Malaysia, atau mereka lebih rela ia kekal sebagai lambang keterasingan yang memecahbelahkan?
Sejarah telah membuktikan melalui episod Universiti Merdeka dan Kolej TAR bahawa jalan konfrontasi hanya membawa kepada kegagalan, manakala jalan kompromi dan integrasi membawa kepada kejayaan yang berkekalan. UEC kini berada di persimpangan jalan yang kritikal. Ia boleh memilih untuk terus menjadi senjata politik yang membinasakan perpaduan, atau ia boleh memilih untuk bertransformasi menjadi jambatan yang memperkukuh pembinaan negara bangsa. Pilihan di tangan mereka, namun sebagai rakyat Malaysia yang cintakan bahasa dan negara, kita menuntut supaya pendidikan tidak lagi dijadikan barang dagangan politik yang murah.


Leave a Reply